13 December 2013

Hukum Mengenai Darah Haid & Perkara Yang Berkaitan


Darah haid adalah najis mengikut ijmak ulama, sama ada sedikit atau banyak. Firman Allah yang bermaksud:

“Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah, haid itu adalah kotoran. Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid, dan janganlah kamu mendekati mereka sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri”. (Surah Al-Baqarah:222)

Hadis-hadis Nabi juga memberi faham bahawa ia adalah najis dan wajib dibersihkannya. Daripada Asma’ binti Abi Bakr, maksudnya :

“Telah datang seorang wanita berjumpa Nabi Muhammad SAW lalu bertanya: Apakah pendapatmu tentang salah seorang daripada kami yang terkena darah haid pada pakaiannya, bagaimana ia melakukannya?..Berkata Nabi Muhammad SAW: Hendaklah ia menyental atau mengosok-gosok kain itu dengan menggunakan air kemudian membilasnya dan bolehlah ia menggunakannya untuk solat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menunjukkan bahawa untuk menghilang atau membersih najis-najis adalah dengan menggunakan air, tidak dengan yang lain-lain. Ketika membersihkannya harus juga dicampurkan ke dalam air beberapa helai daun bidara. Ini berdasarkan kata-kata Umm Qais yang bermaksud:

"Saya bertanya kepada Nabi SAW mengenai darah haid yang terkena pada pakaian. Sabda nabi SAW, kamu basuhlah ia dengan air yang dicampurkan daun bidara dan sentallah ia sekalipun dengan tulang". (Riwayat Ibnu Majah)

Harus juga membersihkannya dengan menaburkan sedikit garam (bertujuan menghilangkan bau dan warna darah) sebagaimana Umayyah binti Abi Al-Salt berkata, maksudnya:

"Saya mengikuti di belakang Rasulullah SAW dalam satu perjalanan dengan berkenderaan unta. Maka demi Allah masih juga (saya) bersama rombongan Rasulullah SAW sehingga kepada paginya maka unta pun menurum lalu saya turun dari tempat duduk saya, tiba-tiba saya dapati ada darah, ini adalah permulaan haid yang saya alami, saya cepat-cepat pergi kepada unta (kenderaan saya) dan saya malu (dengan kejadian yang berlaku itu). Ketika Rasulullah SAW melihat apa yang terjadi pada saya dan melihat darah, Baginda SAW bertanya: Kenapa dengan diri kamu?, boleh jadi kamu didatangi haid. Saya menjawab: Ya. Baginda bersabda: Perbetulkanlah/elokkanlah diri kamu kemudian kamu ambillah air yang dicampurkan sedikit garam, kamu basuhlah dengan air itu darah yang terkena pada tempat duduk kenderaanmu, setelah itu kembalilah menaiki kenderaanmu". (Riwayat Abu Daud)

Untuk masa kini banyak bahan pencuci yang boleh digunakan untuk menghilangkan darah yang melekat pada pakaian atau sebagainya, asalkan ia dari bahan yang suci dan halal agar sifatnya sebagai najis itu hilang. Apabila masih ada kesan darah yang sukar dihilangkan maka ia tidak dianggap najis lagi. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, bahawa Khaulah binti Yasar telah berkata, maksudnya:

"Wahai Rasulullah SAW, saya tidak ada pakaian kecuali satu helai sahaja dan pakaian itu telah dikotori dengan darah haid. Rasulullah SAW bersabda: Apabila engkau telah suci maka basuhlah pada tempat yang terkena darah itu kemudian gunakanlah pakaian itu untuk menegrjakan solat. Khaulah berkata: Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kalau kesannya masih ada? Rasulullah SAW bersabda: Memadailah engkau membasuhnya dengan air dan tidak mengapa dengan kesannya itu". (Riwayat Ahmad)

Dalam kalangan orang melayu haid dianggap darah kotor, namun sebenarnya ia menjadi penunujuk bahawa wanita tersebut mempunyai kesihatan yang baik dan boleh hamil. Sebenarnya haid terjadi apabila darah itu mengalir keluar dari rahim dengan membawa bersama sel dan tisu dari selaput "endometrium". Ketika melalui salura faraj ia membawa bersama kuman yang terdapat dalam saluran faraj . Itulah yang dikatakan darah kotor.


WARNA DARAH HAID

Darah haid datang dalam pelbagai warna. Ada merah kehitaman, merah pekat, coklat kehitaman, dan kuning. Jika dilihat putih bersih maka ia bukan lagi haid. Dalilnya daripada kenyataan Aishah r.a, maksudnya:

"Sekumpulan wanita telah membawa kepada Aishah r.a satu bekas yang berisi kapas yang berwarna kuning. Berkata Aishah: Janganlah tergesa-gesa sehingga kau melihat warna kapas itu berwarna putih".

Warna kuning dan coklat dalam masa tempoh haid adalah dihukumkan haid, tetapi dalam masa bukan tempoh haid maka ia bukanlah haid. Umm Atiyyah menyatakan, maksudnya:

"Kami tidak mengira lagi warna kuning dan coklat selepas suci (sebagai haid)".

MASA HAID

Ulama Fiqh berbeza pendapat tentang tempoh panjang/lama atau pendeknya haid seorang wanita itu. Dijelaskan di sini pendapat imam-imam mazhab yang empat:

1. Mengikut pendapat Mazhab Hanafi: Sekuran-kurangnya masa haid tiga hari tiga malam dan masa haid paling lama sepuluh hari sepuluh malam. Andainya kurang dari tiga hari atau lebih dari sepuluh hari maka darah tersebut adalah istihadhah. Sandaran mazhab ini adalah hadis yang diriwayatkan oleh Sufian, yang bermaksud:

"Sekurang-kurangnya masa haid tiga (hari dan malamnya) dan masanya yang paling lama sepuluh". Hadis yang lain, maksudnya: "Wanita yang didatangi haid apabila melebihi masa sepuluh hari maka ia dianggap wanita mustahadhah, hendaklah ia mandi (dari hadas haidnya) dan mengerjakan solat". (Riwayat Al-Daruqutni)

2. Mengikut pendapat Mazhab Maliki: Tidak ada had bagi sekurang-kurangnya masa haid, baik dikira dari darah yang keluar atau masanya. Jika keluarnya hanya sekejap maka ia dianggap wanita yang didatangi haid dan masa haid yang paling lama ialah lima belas hari.

3. Mengikut pendapat Mazhab Hanbali: Sekurang-kurangnya masa haid satu hari satu malam dan masa yang paling lama lima belas hari. Pendapat yang kedua bagi mazhab ini, masa yang paling lama ialah tujuh belas hari.

4. Mengikut pendapat Mazhab Syafie: Sekurang-kurangnya masa haid ialah satu hari satu malam dan yang paling lama lima belas hari. Imam Syafie berkata: Saya mendapati ada daripada wanita yang telah memberitahu kepada saya bahawa ia didatangi haid hanya satu hari sahaja tidak lebih dari itu.


Petikan dari Slot Bimbingan Agama

Oleh PROF. MADYA DR. ROSNANI HASSAN
(Pensyarah Universiti Teknologi MARA, Machang, Kelantan)


♥ Terima kasih ♥


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...